October 29, 2008

~Isn't this G00D??~

Pasar raya mula turun harga barang

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Semua pasar raya besar di negara ini telah bersetuju menurunkan harga barangan keperluan bagi meringankan beban pengguna, bermula dengan pasar raya Giant yang menguatkuasakan harga baru hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, penurunan harga oleh pasar raya Giant itu menyaksikan 1,200 jenis barangan keperluan mengalami penurunan sehingga 30 peratus daripada harga asal.

Menurut beliau, penurunan harga itu membabitkan 90 cawangan Giant di seluruh negara.

“Selepas Giant, dua lagi pasar raya besar juga akan menurunkan harga barangan keperluan iaitu Tesco dan Carrefour,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga di Pasar Raya Giant Bandar Kinrara di sini.

Antara barangan keperluan yang diturunkan harga ialah beras Jasmine Siam Best 10 kilogram (kg) dengan potongan 18 peratus, Jasmine Super Special 10kg (18 peratus), biskut Julies Cracker 250 gram (25 peratus), biskut Julies Love Letter 120 gram (25 peratus), minyak masak Soylite 3 kg (3.5 peratus), pencuci muka pelbagai jenama (24 peratus) dan gel rambut Revive (27 peratus).

Shahrir berkata, beberapa lagi pasar raya besar pada dasarnya telah bersetuju untuk mengikut jejak langkah tiga pasar raya besar itu tetapi akan memaklumkan rancangan masing-masing kepada kementerian dalam tempoh terdekat.

“Pada dasarnya pasar raya di seluruh negara telah menunjukkan minat dan komitmen menyertai Kempen Penurunan Harga.

“Sebenarnya, kita telah berunding dengan wakil semua pasar raya dan mereka sudah bersetuju untuk menurunkan harga barang di pasar raya masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh pasar raya Giant serta seluruh rangkaiannya di negara ini adalah langkah yang bijak.

Menurutnya, kempen tersebut dijangka dapat meringankan beban pengguna.

Minggu depan, kata Shahrir, Tesco pula akan mengumumkan penurunan beberapa jenis barangan keperluan sebelum diikuti Carrefour.

Beliau berkata, persetujuan yang diberikan oleh ketiga-tiga pasar raya besar itu membuktikan sokongan mereka kepada usaha kerajaan untuk menurunkan harga barangan keperluan selaras dengan penurunan harga bahan api baru-baru ini.

Melalui kerjasama tersebut, ujar Shahrir, usaha kerajaan untuk meminta semua pihak menurunkan harga bagi meringankan beban pengguna akan tercapai.

“Ini adalah langkah fasa pertama yang diambil oleh kementerian. Bagi fasa kedua pula, kita akan mengadakan rundingan membabitkan persatuan pengguna dengan pembekal, pemborong dan pengeluar pula,’’ katanya.

Perbincangan itu, kata beliau, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan pihak berkenaan turut sama menurunkan harga barangan keperluan.

Beliau menegaskan, kementerian tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mendesak pihak pengeluar, pembekal dan pemborong menurunkan harga barangan keperluan.

Justeru, katanya, penurunan itu dibuat melalui perbincangan dan perundingan.

Ditanya mengenai pertemuan membabitkan pihak pengguna, pemborong, pengeluar dan pembekal bagi membincangkan penetapan harga barang, Shahrir memberitahu, perbincangan itu akan diadakan tidak lama lagi.

-dicopy dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

No comments: